Thursday 3 May 2012

Apple pie

Apple pie lagi..dan lagi....

menu ulang tayang, sebabnya apple saya banyak tak termakan, dari buruk baik saya buat apple pie, campur teruja nak guna pastry cutter..heeeeee. Kalau nak resepi boleh godek godek resepi apple pie saya sebelum nih yer...





Roti

Roti..roti..roti...ermmm saya memang suka buat roti. Anak-anak ngan hubby pun suka makan roti. Kalau saya buat roti kompem memang licin, tapi kalau bagi nasi hadoiiilah jawabnyer, susah betul nak makan. Tak susah pun buat roti sebab ada pembantu tolong menguli, cik Breadmaker nama dia..heeeeeee..campak semua dalam tuh, sementara cik breadmaker menguli bolehlah kitaer buat keje lain. Senangkan? jomlah kiter makan roti. Sebelum bagi resepi saya kasik tayang itu roti aaaa!!!...




Ini roti saya simpul cam bunga, kalau nak tau buat camna cuba cari kat youtube. Saya pun belajar dari situ jugak. Senang jer nih. Moh kiter tgk roti seterusnya....





ini roti tocang, camna nak buat? heeeeee...cari kat youtube jugak. Roti ni nak tocang 3, 4, 5 pon boleh. Saya buat tocang 3 je.

Resepi roti ni saya ambil dari blog Jintanmanis. memang superb semua resepi kat situ. Banyak resepi saya dah cuba dan semuanyanya menjadi. Terima kasih yer ros!!!

Bahan-bahannya:
200gram tepung roti
50gram tepung gandum
1 sudu besar skim mlik ( susu tepung )
2 sudu besar gula
1/2 bijji telur
2 sudu besar marjerin ( boleh ganti dengan butter atau shortening )
100ml susu segar atau air suam
1 1/2 sudu kecil yis
1 sudu kecil bread softener ( tak guna pun takpe )

Caranya:


1. Kalau ade  BM tu leh lah masukkan semua bahan  dan pilih menu Dough dan On je, kalau takde masukkan semua dalam bekas adunan dan uli hingga tak melekat pada tangan.

2. Tips untuk dapat doh yang lembut, ambil plastic bersih dah letakkkan doh di dalam plastic tu, ramas-ramas beberapa minit, lebih kurang 5 hingga 10 minit, keluarkan dan uli semula dalam bekas adunan, anda akan dapat doh yang lembut dan elastik.

3. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap dan biar doh naik dua kali ganda. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin. Bahagi doh pada beberapa bahagian kecil kemudian ambil bahagian doh tersebut dan terap memanjang. Simpul doh kemudian lebihan simpul satu selit atas dan satu selit bawah bagi membentuk seperti bunga. Kalau nak buat roti tocang terap doh memanjang 3 bahagian, dan tocang doh seperti tocang rambut kemudian hujungnya selitkan kebawah.



4. Bagi roti bunga seperti gambar diatas, saya sapukan dengan eggs wash, kemudian sapukan tomato dan sos cili, tuna spread, cheddar cheese, mayonis dan daun saleri. Bagi roti tocang pula saya letakkan egss wash terlebih dahulu, kemudian sapu pula sos tomato, sos cili,  lenchoen, cheddar cheese dan mayonis serta daun saleri ( sayur apa2 pun boleh sebenarnya...)


5. Akhir sekali, bakar pada suhu 180 darjah selama 18 atau 20 minit. Setelah siap dibakar, sejukkan atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara. Sesuai untuk sarapan dan minum petang.

Thursday 5 April 2012

Menghitung hari....

Menghitung hari..detik demi detik...chewah!!!!. Dah lama tak berblog, tiba-tiba hari ni saya nyanyi lagu kris dayanti plak aihhhhh. Bukan apa, sebenarnya saya membilang hari nak balik Malaysia. Setelah saya berada di perantauan hampir 3 tahun setengah dan selama itu jugaklah saya tak pernah jejak tanah Malaysia...sob..sob.sob!!!. nak balik tiket mahal oooooo. Dahla gerabak panjang kat belakang nih. Jadi sabar jerlah sampai masa pulanglah anak perantau kebumi terchenta...!!!

Perasaan saya bercampur baur. Rasa seronok nak pulang ke tanahair sendiri berjumpa dengan Abah, Umi dan adik beradik terutamanya, ingin berjumpa sedara mara dan sahabat handai tapi dalam masa yang sama saya sedih untuk meninggalkan bumi New Zealand yang indah dan permai ini. Kalaulah bumi Malaysia sepermai ini ..adoohhhh bestnya. Saya sekeluarga memang seronok berada disini. Yang paling penting anak-anak sangat enjoy ke sekolah. Nak pergi sekolah pun jalan kaki sahaja tanpa kita sebagai Ibubapa nak meneman. Saya rasa aktiviti macam ni memang sah-sah tak boleh buat kat Malaysiakan?. Tapi apakan daya, secantik mana, sedamai mana pun bumi New Zealand, ini tetap tanah orang. InsyaAllah penghujung bulan Mei, kami sekeluarga balik ke Tanah Malaysia, meneruskan kelangsungan hidup disana.

Adoiii...hati bagai direntap pulak rasanya bila menulis cam ginih. Bertambah sedih pulak hati nih. Dalam kepala nih dah terbayang akan kehidupan yang akan saya lalui beberapa bulan lagi. Tak sama lagi macam sekarang. Tak boleh lagi saya bersenang lenang dirumah mengulik sikecik, bermain dan bergurau dengan sikecik. Tentu saya dan suami sibuk dengan kerjaya semula. Anak-anak pula sibuk dengan aktiviti sekolah dan tentunya dengan bebanan kerja sekolah yang menimbun, sedangkan disini kerja sekolah hanya sehelai kertas yang perlu disiapkan selama seminggu.

Kehidupan kami di bumi New Zealand ini, yang bakal jadi kenangan tidak lama lagi akan saya simpan sebaik-baiknya, akan saya menyimpul rapi semua kenangan indah yang tak mungkin saya dan keluarga lupakan. Kenangan bersahabat yang bagaikan keluarga sendiri, melalui kehidupan yang penuh serba sederhana tapi tetap bahagia, menikmati indahnya alam ciptaan Allah....akan tetap kami kenang sampai bila-bila. Berada disini, banyak mengajar saya erti kehidupan. Belajar bersyukur dengan apa yang ada. Hidup tidak mewah dengan wang ringgit tapi mewah dengan rahmat Allah. Sukar untuk saya gambarkan.

Cukuplah sampai disini dahulu yer...mata rasa macam dah bergenang dengan airmata. Sambil menaip nih, mata saya meratah pemandangan diluar rumah saya yang tenang dan damai. Akan saya nikmati alam ini selama masih saya berada disini......


Ya Allah, padamu sahajalah aku bermohon agar perjalanan hidup kami dipermudahkan oleh mu Ya Allah..!!!!. semoga dimana sahaja kaki perpijak dibumi Mu ini Ya Allah, kami sentiasa dikurniakan kebahagiaan, ketenangan, kedamaian, perlindungan, Rahmat dan kasih sayang Mu YaAllah. Amin.....

Red velvet cupcakes

Assalamualaikum....

Apa cerita semua? halamak...blog saya bersawang nampak gayanya. Dah hampir sebulan tak bersiaran. Tak boleh jadi ginih nih. Semalam saya buat cupcakes. Geledah resepi tak jumpa. tiba-tiba opsss lupa saya dah letak resepi dalam blog sendiri, haiyaaa!!!! sendili boleh lupa kaaaa????. Bila bukak blog nih, alamak rasa sedih pulak, projek menghapdet blog saya terbengkalai. Jadinya semalam dah berkira-kira nak menghapdet  entry ari nih. Nanti saya balik Malaysia entah sempat atau tak nak berblog lagi.

Cerita hari ini tak ada yang special pun sangat. Saya nak letak resepi red velvet cupcakes yang dah berkurun saya buat masa birthday anak dara saya tahun lepas. Kang nanti tak letak resepi entah ke mana pulak hilang resepi nih.



Resepi ni saya dapat dari blog secubit garam kak nor. Blog dia memang hebat-hebat semua masakannya. Semua jenis masakan ada. kalau nak tengok boleh rujuk sini yer http://www.secubitgaramnor67.com/2011/02/si-merah-baldu.html. Tak yahlah saya copy n paste yer!!. hehehehe...



Monday 27 February 2012

Sushi

Assalamualaikum....

Selamat menempuh minggu baru. Hujung minggu lepas, apa projek you all semua? Saya dan family bush walk ke Hunua falls. Dah agak lama kami tak bush walk. Balik jer dari sana, badan dah rasa sakit-sakit. Saya dan sikecil demam dan selsema, nasib baik ayah dan anak-anaknya semua ok, kalau tak siapalah nak masak kan?. Entry kali ni, tak dapatlah nak  bercerita panjang lebar.


Hari ni saya nak kongsi resepi sushi yang menjadi kegemaran saya satu family. Bagi saya sushi ni mudah dan ringkas penyediannya. Kalau nak ke mana-mana, macam berkelah ke, bush walk ke,  saya suka buat sushi sebab ia mengenyangkan. Sushi kali ini , saya buat inti ikan salmon. Tapi kalau anda semua tak suka ikan salmon mentah, boleh digantikan dengan apa sahaja, contohnya ayam ( direbus dulu yer).., tuna atau telur dada. Semuanya sedap. Sesiapa yang belum pernah buat, bolehlah cuba. Saya letakkan gambar langkah-langkah buat sushi.

SUSHI

Beras sushi
1/2 cawan rice vinegar ( pastikan yang halal yer..!!!)
Sushi Nori Roasted Seaweed ( apa-apa jenis seaweed pun boleh...)
tikar buluh untuk menggulung sushi
Timun batang ( potong memanjang)
Carrot ( potong memanjang )
2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam

Masak beras dengan perkadaran, 3 pot beras  dengan 3 pot air.

Masukkan rice vinegar ke dalam mangkuk tahan panas ( yang boleh masuk microwave), kemudian campurkan dua sudu besar gula dan satu sudu kecil garam, panaskan ke dalam microwave sehingga gula dan garan hancur.
( kalau nak masak atas dapur pun boleh, masukkan semua bahan di atas kedalam periuk kecil, dan masak lah menggunakan api yang kecil sahaja...)

Bila nasi dah masak, campurkan campuran vinegar tadi ke dalam nasi, dan kaup balikkan agar semua vinegar sebati dengan nasik. tutup periuk nasi agar haba panas tidak keluar. (gunakan senduk kayu sahaja)



Basahkan senduk kayu dengan air terlebih dahulu, agar nasi tidak melekat, kemudian letakkan lebih kurang 2 senduk nasik ke atas seaweed ( rujuk gambar 1 dan 2 diatas ) dan ratakan nasi atas seaweed.

Setelah nasi diratakan, letakkan carrot dan timun yang telah dipotong memanjang, letakkan bersama ikan salmon atau apa saja inti yang anda suka)

Mulalah menggulung sushi seperti gambar keempat diatas dan juga di bawah.



Bila siap digulung bolehlah dipotong kecil-kecil.

Sushi siap untuk dimakan.....!!!!!. Enak dimakan bersama kikoman ( kicap sushi)




yang atas sushi hijau-hijau tu seaweed salad.....sedap!! 

Saturday 25 February 2012

Apple Pie

Assalamualaikum....

Selamat malam dari Auckland. Kat sini dah pun pukul 10.34 malam. Aduhhh mata saya sangatlah mengatuk, tapi hati nak letak jugak resepi Apple pie. Jadinya malam nih tak boleh nak tulis panjang, nanti tiba2 saya tertidur atas keyboard..eheksss.



Apple pie ni, bukan saja mudah dan senang tapi ianya juga sedap dan mengenyangkan. Saya makan satu pun dah rasa kekenyangan. Suami dan anak-anak pun suka. Bila kita masak yang mereka suka, jadi tak payah gaduh pasal nak makankan?. Saya ni dahlah anak-anak jenis memilih makan. Kadang-kadang pening kepala nak pikir masak apa. 


Oklah. saya dah tak boleh nak tulis cerita panjang-panjang, bantal rasa macam duk memanggil manggil jer. Sebenarnya saya satu family petang tadi, keluar jalan-jalan ke Hunua falls, itu yang letih yang amat nih. Meh lah kita tengok resepi apple pie yang saya ambil dari blogger pemes satu Malaysia..sapa lagi kalau tak Mat Gebu, cuma saya ada buat sedikit penambahan. Terima kasih banyak-banyak yer En Mat Gebu,,,memang gebu gebas gitu apple pie dia....


APPLE PIE


BAHAN INTI EPAL :
2 biji epal, hijau, kupas kulit, buang empulur dan dadu kecil ( saya guna 3 biji epal merah)
1/4 cawan kismis (terpulang nak guna kismis hitam atau kuning)
2 1/2 camca besar gula perang ( saya kurangkan kepada 2 camca jer )
1 camca teh jus lemon (saya ganti dengan parutan kulit limau mandarin)
50 gram mentega
1 batang kayu manis
3/4 camca besar tepung jagung
Secubit garam
sedikit esen vanilla

BAHAN LAIN :-)
Puff pastry secukupnya (mat guna jenama kawan saiz 4 inci x 4 inci)
Telur + 1/2 camca teh esen vanilla, dikacau rata.

CARA MEMBUATNYA :
  1. UNTUK INTI EPAL :- Panaskan mentega dalam periuk, kemudian goreng epal tadi bersama kismis, kulit kayu manis dan gula peerang hingga sebati dan gula mencair. Masak hingga epal lembut. Tambah tepung jagung dan lemon jus, kacau hingga pekat, padam kan api dan ketepikan Bila hilang wap panas, simpan dalam peti sejuk hingga dingin dan pekat.
  2. UNTUK SIMPLE APPLE PIE :- Ambil sekeping kulit puff pastry, kerat 2 dan satu lagi dikelar2 halus Letak inti anggaran 1 camca besar dibahagian tengah pastr yang tidak berkelar. Kemudian tutup dengan bahagia satu lagi, kemaskan dan tekan dengan garfu sekeliling puff. Buat kaedah sama untuk baki puff pastry. Sapu kuning telur pada permukaan pastry.
  3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 minit atau kuning keemsan, Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan


Strawberry Cheesecake

Assalamualaikum.


Selamat berhujung minggu kepada semua rakan dan taulan. Apa khabar semua??...apa plan dihujung minggu nih. kalau dah namanya hujung minggu mesti ramai yang plan nak ke Shopping Mall, rumah saudara mara, jalan-jalan ke rumah kawan-kawankan?..atau lepak-lepak kat rumah jer?. Ada yang plan nak masak apa-apa hari ni?. Ada plan nak buat cheesecake? ( kakak saya, cik zalina tu katanyanya nak buat cheesecake, dah tak sabar nak resepi...heeeeee jangan lupa dah siap baling kat Auckland nih sikit...!!!)

 Jadi hari ini, entry saya ialah  Strawberry cheesecake yang telah saya buat sempena Harijadi Anak sulung saya pada bulan lepas. Resepi asal ialah blueberry cheesecake. Anak-anak saya alahan pada blueberry, langsung tak boleh makan. Terpaksa saya tukar kepada strawberry, dan saya buat penambahan biskut oreo dalam cheesecake. Minta maaflah tuan punya resepi, saya dah menderhaka pulak. Sesuka hati penokok tambah resepi. 


Bercerita pasal cheesecake nih. Sebenarnya saya ni dah banyak kali cuba buat cheesecake nih, asyik tak menjadi jer. Ada saja yang tak kena. Kalau dah tukang masak amatur macam saya nih gitulah gayanya, banyak kali kena cuba baru nak jadi. Alhamdulillah masa harijadi anak saya bulan lepas...yeayyyyyyyy...akhirnya cake ibu jadi jugak!!!!!.....Cheesecake ni bukan susah sangat tapi sekali teknik tak kena, nanti cake ni boleh baling kat dinding. 

Jomlah kita layan Strawberry cheesecake dihujung hujung minggu nih....

Strawberry Cheesecake

500g cream cheese ( saya guna 2 buku cream cheese jenis Philadelphia )
250ml fresh cream/plain yogurt ( saya guna fresh cream dan pukul dahulu fresh cream tersebut )
2 sudu besar lemon
3 sudu besar tepung gandum
2 biji telur
100g gula
1 sudu teh esen vanila
strawberry filling untuk hiasan ( saya guna strawberry jem jer )
beberapa keping biskut oreo

Base
2 cawan ( 200gm) biskut marie atau boleh guna biskut Digestive
1/4 cawan ( 50gm) gula putih
1/2 cawan (114gm) unsalted butter. ( kalau tak ada unsalted butter boleh guna butter biasa )

Base ini saya dah tukar dari resepi asal....( saya rujuk kepada website joyofbaking)

Panaskan oven 170 degree. Sapukan loyang dengan butter atau alas dengan kertas minyak pun ok ( baking paper)

Dalam mangkuk satukan biskut marie atau biskut digestive yang telah dihancurkan bersama gula dan butter yang telah dicairkan. Gaulkan rata bahan bahan tersebut dan tekan dengan padat ke dalam loyang kemudian tutup dengan aluminium foil/ baking paper dan masukkan kedalam peti sejuk.

Pukul cream cheese dan gula hingga gebu kemudian tambah telur satu persatu

Masukkan pula fresh cream yang telah dipukul kembang sebelumnya dan semua bahan-bahan lain ke dalam mixer. Pukul adunan sehingga menjadi cream dan patahkan patahkan biskut orea dan masukkan kedalam adunan
( semasa memukul adunan gunakan medium speed lebih kurang 2 minit )

Tuang adunan tersebut ke atas biskut yang telah disejukkkan ke dalam peti sejuk sebentar tadi.

Bakar secara waterbath selama 1 jam 15 minit ( bergantung kepada oven masing- masing yer )

Setelah hampir masak atau selepas 30 minit bolehlah letak aluminium foil untuk mengelakkan permukaan hangus.

Bila sejuk, simpan di dalam peti sejuk semalaman untuk mendapatkan rasa cheesecake yang sedap.

Sebelum makan sapukan permukaan cheesecake dengan filling/ jem strawberry dan hiasalah dengan buah strawberry.

SELAMAT MENCUBA!!!!!!!!!!
Disini saya letakkan beberapa tips untuk chessecake yang saya peroleh dari website Joyofbaking:

Tips:  Sometimes the surface of the cheesecake cracks.  To help prevent this from happening do not over beat the batter, especially when creaming the cheese and sugar. 
Another reason for cracking is overbaking the cheesecake.  Your cheesecake is done when it is firm but the middle may still look a little wet. 
Also, make sure the springform pan is well greased as cracking can occur if the cheesecake sticks to the sides as it cools.













Friday 24 February 2012

Nasi Air Siam

Assalamualaikum...




Enrty kedua saya pagi ini berkenaan makanan pula. Entry pertama saya dah bercerita tentang kisah kehidupan. Resepi pagi ni ialah Nasi Air Siam. Resepi ni memang pebert saya nih...  saya sangat-sangat suka makan nasi air siam. Teringat pulak saya kepada arwah nenek dan datuk saya tinggal di Golok. Masa kecik-kecik dulu, pantang sekolah cuti saya akan bertapa rumah atuk ngan nenek. Seronok main ngan sepupu-sepapat di Thailand. Sampai tak mau balik. Dua atau tiga hari sebelum buka sekolah barulah saya balik. Sampai abah kena datang jemput balik Pasir MAs, itu pun menyorok bawah meja sebab tak nak abah nampak, konon-kononlah tu, boleh selamatkan diri dari balik rumah.haaaaa..Masa tu hampir setiap hari saya beli nasi air nih. Kedai tu pulak dekat jer ngan umah nenek.

Seronok betul bila teringat kisah silam masa kecil-kcel dulu..!!! Anda semua pun mesti seronokkan kalau teringat zaman kecil dulu. Main jer dari pagi sampai malam. Oklah resepi ini, saya godek-godek kat internet.  Cari kat New Zealand nih manalah ada Nasi Air cik kioh oiiiii.. Nak makan nuh hah, pergi dapur masak sendiri. Padan muka, dulu pemalas sangat nak masak..heeeee.



Jomlah kita jenguk resepi Nasi Air Siam. Resepinya pun tak susah sangat. Terima kasihlah pada tuan punya resepi nih. Saya copy paste je resepi ni yer.

NASI AIR SIAM
Recipe is inspired and taken from http://www.facebook.com/note.php?note_id=122408557775225

Senang dan Sangat Sedap!! Resepi dari sempadan Kelantan dan Terengganu. Sila baca dulu semua arahan dibawah sebelum membuat. Sila tanya saya kalau anda tak faham. Selamat Mencuba.

Bahan-bahan ( 4-5 orang )

Nasi - dimasak sedikit lembik
Daging - 1/2 kilo
halia - 5 inch -ditumbuk lumat
cili padi (hijau atau merah) - segenggam
cuka makan - 3 atau 4 sudu besar
garam,gula sesedap rasa

BAHAN TAMBAH

ikan bilis - digoreng garing
bawang goreng
bihun - 1/4 dari plastik. Dibasuh dan sejat. Digoreng dalam minyak
air lada (cili) - sila rujuk cara membuat
daun sup - dihiris halus-halus
limau nipis/limau kasturi - di potong (utk diperah semasa makan)
**bahan tambah ini-perlu dihidangkan dalam bekas berasingan. Memudahkan anda untuk menambah apa yang anda suka ketika makan.

Cara-cara

Masak Nasi seperti biasa cuma lebihkan air sedikit.

Daging tersebut -dipotong besar-besar dan direbus dlm air yang banyak. Setelah masak - Air daging tersebut dipanaskan semula dan ditambah garam dan gula sesedap rasa. Kalau rasa tak cukup utk seisi keluarga (bagi yg suka kuah byk) boleh tambah air lagi.

Daging yang direbus tadi - dipotong/disiat kecil-kecil dan digaul dengan halia. Seterusnya digoreng hingga garing.

Air lada - Cili padi ditumbuk lumat. Masukkan ke dalam mangkuk kecil-tambah cuka, gula dan garam sesedap rasa.

Semua sudah siap. Bolehlah ambik satu senduk-masukkan air daging-masukkan semua bahan tambah-gaul2kan semuanya-MAKAN-kalau tak cukup pedas-tambah air lada :).

TIP- bahan yang perlu digoreng ialah - bihun, ikan bilis, daging. Anda perlu menggoreng ikut aturan bihun-ikan bilis-daging. Kalau goreng daging dulu nanti-serdak dari halia tersebut akan bercampur dgn bihun atau ikan bilis.

CARA MAKAN- ambik nasi sesenduk-masukkan air daging yang tengah panas tu-kemudian di masukkan segala bahan tambah. Sedap dimakan panas-panas apalagi kalau semakin pedas. Jaminan 100% sedap!


Kembara di bumi New Zealand 2009- Part 2

Assalamualaikum...

Selamat pagi dari Auckland. Sekarang Auckland pukul 10.08 minit pagi, waktu  Malaysia sekarang pukul 5.10 minit pagi, agaknya masih ada yang diulik mimpi atau mungkin ada yang dah bangun bersedia untuk solat subuh dan menyediakan apa yang patut dipagi hari Jumaat, penghulu segala hari. Kalau yang nak keluar bekerja tu, mesti sibukkan pagi-pagi. Menyediakan sarapan pagi, keperluan anak-anak ke sekolah. Rasanya mesti terkejar-kejar. Begitulah rutin saya sebelum saya bergelar surirumah sepenuh masa.

Beberapa bulan lagi, saya pun akan menghadapai saat-saat sibuk atau kalut dipagi hari. Sekarang pun sibuk jugak, menyediakan sarapan pagi dan keperluan anak ke sekolah, tapi di sebabkan saya tak bekerja, tak     adalah rasa terkejar-kejar sangat. Pagi ini saya akan sambung kisah Kembara di bumi New Zealand lagi.

Part 1, saya ada bercerita tentang perjalan saya ke sini. Kali ini saya akan berkongsi cerita penghidupan yang kami lalui sepanjang 2009. Banyak kisah suka dan duka. Tapi saya rasa banyak kisah gembira yang kami lalui, walaupun penghidupan kami di sini serba sederhana. Tidaklah semewah macam di Malaysia, hidup hanya sekadar bergantung kepada gaji dan elaun suami. Kadang-kadang perit rasanya. Semua benda perlu budget, tak boleh nak beli sesuka hati. Kalau tengok benda yang berkenan pun kadang kala terpaksa menutup mata. Makan minum kami pun tidaklah semewah seperti di Malaysia. Kalau dulu, teringin nak makan apa, banyak restoren , gerai dan pelbagai tempat yang boleh menjadi pilihan. Janji ada duit, semua boleh beli.

Tapi di sini, tidak banyak pilihan. Mencari makanan halal yang telah siap dimasak, tidak seperti Malaysia. Kalau ada pun harganya mahal. Jadi aktiviti makan di luar sangat terhad. Terpaksalah saya mengangkat senjata di dapur. Apa saja terlintas nak makan, buka internet cari resepi dan buat sendiri. Bermula dari situlah maka saya sudah mula berjinak-jjinak di dapur. Saya ni bukannya tergolong dalam kumpulan orang yang pandai masak. terhegah-terhegeh kata orang. Tapi sedikit demi sedikit, skill masak saya semakin baik. jauh lebih baik berbanding semasa saya berada di Malaysia dulu. Bukanlah pandai sangat pun, cuma semakin baik dari dulu. Syukur alhamdulillah. Rupanya banyak hikmah yang Allah beri, semasa kami berada di tempat orang.  Belajar bersederhana dalam segala aspek kehidupan. Belajar bersyukur atas segala limpahan nikmat yang Allah beri. Di dalam susah ini, Allah beri kenikmatan...........




Inilah rumah pertama kami setelah kami sampai pada 3hb Januari 2009 ( sekarang kami dah pindah rumah lain). Macam rumah kampungkan?. Kawasan kami tinggal ini dinamakan Mount Roskill. Penduduk di sini pun berbilang bangsa, ada Kiwi ( gelaran mat salleh dan minah salleh New Zealand ), Moari, Samoa, Tonga, India, Pakistan, Cina, Jepun, Korea. Jadi Mat salleh yang tinggal di Auckland nih, dah biasa dengan bangsa lain. Mereka ni tak terlalu bersikap perkauman sangat dengan bangsa lain. Mereka juga boleh menerima culture dan budaya bangsa lain. Kata suami dan rakan-rakan saya, mat salleh di New Zealand nih jauh lebih sopan berbanding ngan orang-orang Australia. Berbalik kepada cerita rumah kami nih. Nampak saja rumah buruk, ala-ala kampung gitu  tapi sewa mak aiiiiiiiii....mahai lah sangat!!!!. dahlah bayar sewa setiap minggu, bukan bulan ok!!!.....perghh parah!.

Rumah ini kami sewa NZ390.00 termasuk api dan air  setiap minggu. Cuba tukar kepada RM..hehehe agak-agak berapa?. Lebih kurang RM3500.00 sebulan. Kalau dengan harga tu, rasanya kat Malaysia dah duduk kondominium kami. Duit elaun banyak dihabiskan dengan kos membayar sewa rumah. Sebab tulah tak boleh nak bermewah-mewah. Nanti tak ada pulak duit nak bayar sewa. Walau apapun, anak-anak kami tetap ceria dan seronok. Tengok gambar tuh, seronokkan dia orang. Bestnya kalau dapat jadi budak semula. Tak payah nak pikir-pikir banyak.







Thursday 23 February 2012

Victoria Sponge Cake

Assalamualaikum...

Salam sejahtera dan semoga hari ini hidup kita penuh dengan limpahan rahmat dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga kita juga sentiasa berada dalam lindungan Allah. Hari ini, bumi Auckland dibasahi dengan hujan rahmat. Cuaca pun mendung jer, membuatkan saya rasa sedap jer kalau tarik bantal tidur. Tapi kalau dah tidur banyaklah nanti kerja rumah terbengkalai, blog pun tak terisi pulak.



Pagi ni saya duk fikir resepi apa saya nak letak. Saya belek-belek semula koleksi resepi saya yang tersimpan dalam almari buruk saya..hehehehehe. Macam harta karun pulak yek. Tenung punya tenung, saya rasa nak pilih resepi Victoria Sponge Cake. Resepi ni saya ambil dari buku masakan saya yang bertajuk  1000 Recipes. Saya sangat suka buku nih. Macam-macam resepi ada, dari lauk pauk, dessert, snack dan banyak lagi. Tapi semua resepi Mat salleh. Jadi kena tengok-tengok juga mana resepi yang boleh lalu kat tekak melayu kita nih.


Kita terus kepada resepi saya pagi ni. ( rasa macam masuk rancangan masakan pulak aihhh..). Resepi ni ringkas dan bahan-bahan yang digunakan pun senang nak cari. Tak ada bahan pelik yang memeningkan kiter nak pikir. saya rasa sesapa je boleh buat resepi nih. Tak rugi pun mencuba sebab cake ni pun sedap sangat. Anak-anak saya  sekali hadap cake nih, licinnnn....!!!!.


Victoria Sponge Cake
source: 1000 recipes cooking book

175gm butter
175gm caster sugar ( boleh kurangkan gula kalau tak suka manis sangat )
3 biji telur ( pukul sedikit )
175gm self raising flour/ tepung naik sendiri
6-8 sudu besar rasberry jam ( boleh tukar jem lain )
150ml double cream ( pukul sehingga gebu )
sedikit icing sugar
Sedikit buah rasberry sebagai hiasan ( optional )

Panaskan oven dangan suhu 190C
Pukul butter dan gula sehingga kembang.
Masukkan telur sebiji demi sebiji
Ayakkan tepung  dan masukkan semua tepung ke dalam adunan menggunakan spatula.
Kaup balikkan adunan tersebut supaya rata dan sebati semuanya.
Sapukan sedikit butter pada loyang terlebih dahulu, supaya cake tidak melekat pada loyang.
Masukkan adunan tersebut ke dalam loyang dan bakar selama 20-25 minit sehingga cake kelihatan keperangan dan lembut bila disentuh.
Apabila cake sudah masak keluarkan dan terbalikkan cake. Bahagian bawah cake perlu berada diatas apabila dihidangkan.
Apabila cake sudah sejuk, cake perlu dibelah kepada dua  bahagian.
Bahagian bawah cake tadi disapukan jem rasberry kemudian sapukan pula double cream di atas jem tadi.
Ambil sebahagian cake lagi dan telangkupkan ke atas double cream.
Ayakkan gula icing di atas cake.
Hiaskan dengan buah rasberry.

Kepada semua ' Selamat Mencuba '




Wednesday 22 February 2012

Kembara di bumi New Zealand 2009( part 1)

Assalamualaikum,

Hari ini saya dah masukkan 2 entry masakan saya. Ini dah kira entry yang ketiga.Kali ini saya bukan nak cerita pasal masakan. Tapi saya nak berkongsi cerita tentang kembara kami dibumi New Zealand. Seperti yang saya maklum, saya memang merempit nak masukkan cerita yang telah saya biarkan berlalu tanpa didokumentasikan. Itu yang jadi satu hari 3 entry. Tapi tak mengapakan bukan menjadi satu kesalahan pun.

Baiklah...
Sebenarnya kisah kembara saya dibumi Auckland, New Zealand ini bermula pada tanggal 3 Januari 2009. Pada tanggal tersebut sampailah saya dibumi Auckland, meninggalkan ibu bapa. adik beradik, saudara mara serta sahabat handai di tanah air...Malaysia. Pada waktu itu saya datang bersendirian bersama anak-anak yang masih kecil. Suami saya telah pun datang ke sini pada bulan November 2008, melanjutkan pengajian diperingkat Doktor falsafah (PhD), di Auckland University of Technology. Disebabkan pada waktu itu ada sedikit masalah visa anak bongsu saya, maka tak dapatlah saya bertolak ke Auckland bersama-sama suami pada bulan November 2008.

Ipar-duai dan biras-biras saya di KLIA, malam sebelum bertolak.

Anak-anak saya bersama sepupu sepupu.




Bertolaklah saya malam itu dengan perasaan bercampur baur. Sedih meninggal insan-insan tersayang. Teruja untuk memulakan hidup baru di bumi New Zealand. Dapat jugak saya mengawal perassan saya dari menangis pada malam itu....heeheheheh control ayulah konon..!!.

Perjalan saya ke Auckland, New Zealand memakan masa selama 11 jam. Aduhhh....!!!sangat meletihkan. Letih sebab duduk lama sangat dan tak cukup tidur. Riba saya menjadi tempat anak-anak merebahkan kepalanya. Waktu itu rasa lambatnya sampai. Anak-anak pun merengek penat.

Dalam pukul 2 petang, Alhamdulillah...mendaratlah kapal terbang dengan selamatnya di Airport Auckland, New Zealand. Alhamdulillah syukur,  perjalanan kami selamat semuanya.

Pertama kali menjejak kaki di bumi Auckland

Tengoklah beg tu, banyak dan berat. Nasib baik ada Harith. Tapi masa tu Harith baru umur 8 tahun.



dah kepenatan semuanya. 



View pertama yang saya lihat bila mula-mula sampai di New Zealand. Excited betul masa ni. Maklumlah tak pernah sampai New Zealand. Masa saya sampai hujan renyai-renyai dan cuaca terasa sejuk. Sebenarnya waktu saya sampai, waktu itu tengah summer. Tak sejuk pun sebenarnya. Tapi kerana kita datang dari tempat panas, terasalah sejuknya.

Kembara di bumi New Zealand akan saya sambung dengan part 2. InsyaAllah. Semoga saya diberi kekuatan dan semangat untuk mendokumentasikan kisah kembara saya disini.




Chocolate cupcakes

Assalamualaikum semua...

Entry kedua saya hari ini ialah chocolate cupcakes. Bercakap tentang cupcakes, saya pasti ramai peminat cupcakeskan?. Termasuklah saya dan anak-anak saya. Cuma En Hubby saya saja yang tak berapa minat dengan cake atau cupcakes. Nasib baiklah anak-anak saya ada. Jadi mereka sentiasa jadi mangsa kepada experiment cupcakes saya. hehehe....

Chocolate cake atau cupcakes memang terlalu biasakan. Tentu kawan-kawan diluar sana sentiasa buat. Saya pun selalu jugak buat, cuma yang ini saya dapat dari seorang kawan saya yang saya panggil Che Pah. Dia ni memang terer bab baking nih. Masak pun pandai. Beruntung jadi orang pandai masak ni. 


Satu hari tu, kawan saya ni datang rumah saya dengan satu dulang penuh cupcakes. Walla..!!!..hati berbunga riang melihat chocolate cupcakes. Sekali saya geget...mak aiiii..moist sangat!!!!!. Bila makan nak lagi dan lagi. Hubby saya yang tak berapa gemar cupcakes pun nampak cam laju je makan. Lepas satu satu kena bedal cupcakes tu. Saya dengan muka tak malu terus teruja nak resepi. 


Esok harinya saya terus ke countdown mencari bahan untuk buat cupcakes..( teruja sangatlah tuh kan...!!!). Pertama kali buat saya punya cupcakes macam dry sikit tak macam che pah punya. Rupanya saya terlebih masa bakar, Jadi cake atau cupcakes kena hati-hati, jangan terlebih bakar nanti tak moist. Kali kedua saya buat masa birthday anak dara saya. Alhamdulillah menjadi. Mekasih Che pah sudi kongsi resepi ni. 

Jom kita kongsi resepi ni sama-sama....

CHOCOLATE CUPCAKES
Rujukan: Syarifah Ezdiani


250gm unsalted butter
2 cawan tepung gandum ( saya guna high grade flour )
4 biji telur
1 1/2 cawan fresh milk
3/4 cawan serbuk koko
1 tspn baking soda
1 tspn baking powder

Topping:
cooking chocolate
reduced cream

Bahan A:
Tepung gandum, baking powder dan baking soda diayak bersama.
Bahan B:
Pukul telur dan gula sehingga kembang kemudian masukkan fresh milk. Masukkan pula telur, satu persatu. Jangan pula masukkan 4 biji telur serentak yer.. 

Campurkan bahan A dan bahan B bersama dan kacau sebati.

Kalau buat cakes bakar selama 45 minit atau sejam. tapi kalau buat cupcakes kurangkan masa pembakaran. Suhu oven ialah 175C.


TOPPING:
Saya menggunakan jumlah yang sama antara cooking chocolate dan reduced cream. Contohnya kalau menggunakan 200ml reduced cream, maka cooking chocolate juga 200gm. Sekiranya nak topping lebih keras boleh tambah lagi cooking chocolate. 
Caranya, panaskan reduced cream dengan kaedah double boiling dengan menggunakan api yang kecil. Setelah cream panas alihkan dan masukkan cooking chocolate yang telah dipatahkan kecik-kecil. Terus kacau sehingga cream dan cooking chocolate sebati.   Sejukkan sebentar sebelum di sapukan atas cake/cupcakes.